< ۱ >
Read!
In the Name of ALLAH, Who has created man from a clot (a piece of thick coagulated blood).
< ۲ >
Say Yes to Islam!
Wherever you turn, you turn to Allah.
< ٣ >
Say Yes to Islam!
Reported by Uthman bin Affan (RA): The Prophet (peace be upon him) said, ‘The most superior among you are those who learn the Qur’an and teach it.’ - Imam Bukhari.
< ٤ >
Say Yes to Islam!
When life turns into a complication, sort it out with supplication, Prayer is the best weapon, raise your hands and make Dua. - Abu Maryam.

Pages

Ahlan Wa Sahlan Wa Marhaban Bikum

Monday 27 May 2013

Betul ke Tuhan tu wujud??? Buktinya???




Semua benda yang wujud kat alam ni terbatas dan boleh berubah. Dari situ kita boleh faham yang alam ni terikat dengan masa dan ruang. Jadi, mestila semua yang ada kat alam ni ada permulaan dan penghujung dia. Walaupun ada orang dakwa sebaliknya, sebenarnya tak dapat dinafikan yang setiap yang ada permulaan memerlukan sesuatu yang tidak ada permulaan untuk memulakan dia dan membawanya kepada kewujudan. 
 Mana mungkin sesuatu benda leh terjadi dan berlaku dengan sendiri. Kalau barang tiba-tiba bergerak sendiri pon kita kata hantu yang gerakkan. Jadi, macam mana pergerakan dan perubahan alam ni kita nak kata terjadi dengan sendiri...tak boleh fikir ke???

Lepas tu pulak..semua yang wujud atau tak wujud atau belum wujud ada dua kemungkinan yang seimbang 50/50, sama ada wujud atau tak wujud. Situasi ni takkan jadi berat sebelah dengan sendiri melainkan ada satu entiti yang akan berperanan memberatkan kepada satu kemungkinan sama ada nak bagi wujud atau nak biar tak wujud. Contohnya manusia sendiri la...kita berkemungkinan wujud bila-bila je tak kira masa, tempat, rupa bentuk dan keadaan. Tapi kita sendiri tak boleh pilih untuk lahir bila dan kat mana kita suka. Siapa pulak yang memilih kemungkinan-kemungkinan ni dan menjadikannya cenderung pada satu kemungkinan je???tak boleh fikir ke???

Dalam dunia ni pulak..takde ape yang wujud tanpa alasan atau sebab. Berdasarkan penilaian ekologi, semua yang ada kat alam ni ada peranan dia yang tersendiri dalam kewujudan dan ada tujuan tertentu. Rantaian kehidupan yang berakhir dengan manusia sebagai tempat teratas dalam rantaian membuktikan tujuan dan matlamat terakhir bagi semua kewujudan. Jadi siapa pulak yang tentukan rantaian kehidupan mesti berakhir dengan manusia(maksudnya takde ape lagi yang memerlukan manusia sebagai sumber kehidupannya).Tak boleh fikir ke???

Setakat ni je dulu...bagi lumat betul-betul dalam kepala...nanti kita bincang lagi...

Petikan diambil dari buku Pesanan Buat Diri oleh Suhili Nain.



 

Islam sebenarnya ialah penyerahan diri kepada Allah s.w.t. Dari segi bahasa arab dan Al-Quran , Islam bermaksud menyerah diri. Buktinya sebagaimana firman Allah s.w.t. dalam surah Yunus ayat 72  yang bermaksud “ Dan aku disuruh supaya aku termasuk golongan orang-orang yang menyerah diri.”
Allah s.w.t. juga berfirman di dalam surah az-Zukhruf ayat 69 yang bermaksud : “ Orang-orang yang beriman dengan ayat-ayat Kami dan mereka adalah orang-orang yang menyerah diri.”

Seterusnya, Syaikh Muhammad Al-Wasibi memberikan penjelasan yang terperinci tentang Islam. Pendapatnya, Islam adalah kembali atau penyerahan diri kepada Allah s.w.t. dengan bertauhid, menyelamatkan diri dengan menyerahkan ketaatan kepada Allah s.w.t., membersihkan daripada kesyirikan, menjauhkan diri daripada perkara-perkara bidaah dan ahli daripada keduanya iaitu ahli syirik dan ahli bidaah.

Kita menyerahkan keinginan diri kita kepada Allah sebagaimana seorang hamba sahaya yang menyerahkan segala perbuatannya kepada kehendak dan keizinan tuannya, sentiasa taat dan patuh kepada arahannya.
Apabila diperintahkan oleh Allah s.w.t. kita perlu melaksanakannya  dan apbila dilarang olehnya maka perlu kita meninggalkannya. Firman Allah s.w.t. dalam surah Ghafir ayat 66 yang bermaksud “Dan aku diperintahkan supaya menyerahkan diri kepada tuhan semesta alam”.

Penyerahan dan ketaatan seseorang itu kepada Allah s.w.t. bukan setakat luaran sahaja malah meliputi segala aspek luaran dan dalaman di dalam penyerahan hati, lisan dan perubatan.
Apabila lisan dan perbuatan seseorang itu taat kepada Allah sedangakn haatinya tidak beriman dan mendustakan Allah, dibimbangi memainkan agamaIslam sendiri dan ditakuti seperti ingin memburukkan Islam yang cantik sifatnya.

Berserah dengan hati adalah hati redha menerima segala ketentuan Allah. Hati yang berserah kepada Allah adalah hati yang beriman , meyakini hanya Allah yang menciptakan sekalian alam dan mengurusnya. Allah, tuhan yang wajib disembah dan meyakini kesempurnaan zat, sifat dan nama-nama Allah serta mengakui Nabi Muhammad s.a.w. adalah pesuruhnya dan membenarkan segala ajaran yang dibawa oleh baginda s.a.w.

Berserah dengan lisan pula ialah mengucap dua kalimah syahadah beserta pembenaran oleh hati dan menjaga lisan supaya sentiasa selari dengan ketentuan syarak.

Manakala, yang dimaksudkan berserah dengan perbuatan pula ialah setiap perbuatan seorang itu perlu mengikut syariat Islam seperti menunaikan solat lima waktu, berpuasa di bulan Ramadhan , mengeluarkan zakat dan banyak lagi amalan-amalanyang berbentuk perbuatan.

KHALIFAH UMAR ABDUL AZIZ SEORANG PEMIMPIN UNGGUL



Umar Abdul Aziz merupakan anak kepada Abdul Aziz bin Marwan bin al-Hakam. Beliau juga mempunyai darah keturunan Khalifah Umar al-Khattab dari sebelah ibunya. Beliau memiliki daya kepimpinan yang hebat dan telah menempa kejayaan dan kecemerlangan. Kepimpinan beliau merupakan kepimpinan yang sebenar sebagaimana yang diwarisi daripada Nabi SAW. Sifat keperibadiannya yang tinggi dan ciri-ciri pemerintahan yang adil dan bertanggungjawab serta pencapaian beliau dalam kepimpinan telah menjadikan beliau seorang pemimpin yang amat dikagumi dalam sejarah kepimpinan Islam.

Semenjak remaja lagi, beliau mempunyai minat yang mendalam dalam menuntut ilmu dan mendalami ajaran Islam. Apabila bapanya bercadang untuk menghantarnya ke Mesir, beliau meminta untuk bermusafir ke Madinah bagi menghadiri kuliah pengajian daripada para fuqaha’ dan ulama’ di sana. Beliau pernah dilantik menjadi Gabenor Madinah, Mekah dan Ta’if  semasa pemerintahan al-Walid bin Abdul Malik. Semasa kepimpinan beliau, Masjid Nabawi telah ditambah binaannya dengan memasukkan kubur Nabi SAW ke dalam kawasan masjid. Beliau sentiasa bergaul baik dengan penduduk-penduduk Madinah sehinggakan beliau dianggap sebagai seorang yang sederhana. Beliau juga pernah dilantik menjadi menteri penasihat ketika berada pada zaman pemerintahan Sulaiman bin Abdul Malik sebelum dilantik menjadi khalifah. Sifat berani dan tegas serta kebijaksanaan yang dimiliki melayakkan beliau diberi kepercayaan untuk memegang jawatan khalifah setelah kewafatan sepupunya, Khalifah Sulaiman bin Abdul Malik.

 Dari awal pemerintahannya, Umar Abdul Aziz telah mengumpulkan rekod pentad-biran dan hukum-hakam yang telah diputuskan oleh Khalifah Umar al-Khattab sebagai panduan dan pedoman kerana beliau berpegang kepada kenyataan Rasullullah SAW yang menyebut bahawa Allah menjadikan kebenaran berdasarkan lidah dan hati Umar bin al-Khattab. Wawasan politik beliau ialah berpegang teguh kepada kitab al-Quran dan berjihad mendaulatkan agama Allah sebagaimana yang telah diriwayatkan oleh Malik bin Anas:- “Rasulullah SAW dan para pemerintah selepas Baginda telah menetapkan peraturan yang perlu diikuti, iaitu: Berpegang teguh kepada Kitab Allah dan menjana Kekuatan Agama Allah. Tidak ada
sesiapa yang boleh menukar ganti dan mengubahnya. Tidak ada sesiapa yang boleh mengikut jejak langkah orang yang menentang panduan itu. Barangsiapa yang mengambil panduan tersebut, maka ia mendapat bimbingan. Orang yang menggunakannya untuk mencapai kemenangan, maka ia akan dibantu. Sebaliknya orang meninggalkan petunjuk tersebut dan mengikut jalan orang yang tidak beriman, maka Allah akan berpaling daripadanya dan ia akan dihumban ke dalam api neraka, tempat yang paling buruk dan hina.”


Setelah upacara perlantikan dan bai’ahnya selesai, beliau pulang ke kediamannya menggunakan kenderaannya sendiri. Beliau menolak menunggang kuda yang telah dihias indah sebagai kenderaan rasminya ketika itu. Beliau juga menolak untuk tinggal di kediaman Khalifah dan segala barang-barang di dalamnya telah diserahkan kepada baitulmal. Begitu juga dengan barang-barang perhiasan milik isterinya. Beliau pernah menerima gaji sebanyak 40 ribu dinar sebelum dilantik  menjadi khalifah, namun setelah memegang tampuk peme-rintahan, beliau telah meninggalkan semuanya. Yang tinggal padanya hanyalah 400 dinar setahun. Beliau sanggup mengorbankan segala kesenangan dan kemewahan yang dimilikinya demi kepentingan dan kesenangan rakyatnya. Pernah suatu ketika ada orang yang menegur sikapnya itu dengan berkata:- “Engkau mampu memakai pakaian yang baik-baik, tetapi mengapa engkau memakai pakaian yang buruk?” Lalu jawab Umar,:- “ Sebaik-baik orang ialah orang yang bersederhana ketika dia mampu bermewah, dan sebaik orang yang memaafkan ialah orang yang ketika mempunyai kuasa membalas kejahatan.” Jika sebelum menjadi khalifah pakaiannya daripada benang yang terbaik dan berkualiti, namun setelah menjadi pemerintah, pakaiannya keras dan murah harganya. Sehinggakan pernah terjadi ketika beliau sakit, saudaranya datang menziarahinya dan meminta Fatimah iaitu isterinya supaya menukarkan bajunya. Namun, keesokan harinya, ketika dia datang menziarahi Umar semula, dia terkejut melihat Umar masih memakai baju yang sama seperti semalam. Apabila ditanya, Fatimah menjelaskan bahawa Umar tidak memiliki baju yang lain. Sebab itu, jika isterinya membasuh baju yang dipakai olehnya, maka beliau akan berada di rumah menunggu sehingga baju itu kering.

Biarpun dalam keadaan sedemikian, masih ada lagi pihak yang iri hati dan sanggup memfitnah beliau. Beliau dituduh menyimpan harta yang banyak dalam dua bilik peribadinya sehinggakan perkara itu dilaporkan kepada Khalifah Yazid yang ketika itu menjadi khalifah menggantikan beliau yang telah meninggal dunia. Hasil daripada laporan tersebut, Yazid telah menyiasat dua bilik tersebut walaupun telah dinyatakan oleh isteri Umar bahawa Umar meninggal dunia tanpa meninggalkan sebarang harta melainkan satu bungkusan yang mengandungi baju murah  bertampung-tampung, kasut buruk, dan jubah yang telah lusuh.

Dalam melaksanakan keadilan semasa kepimpinannya, masih wujud golongan yang jahat, dengki, khianat dan tamak dengan harta dunia sehingga sanggup mengatur rancangan untuk membunuh beliau. Akhirnya, beliau meninggal dunia kerana diracun oleh pembantunya sendiri.

Demikianlah contoh kepimpinan Islam yang dilaksanakan oleh Khalifah Umar Abdul Aziz semasa pemerintahannya.  Keadilan, ke-tegasan dan keunggulan beliau sebagai pemimpin tidak dapat disangkal lagi. Kepimpinan beliau sentiasa hidup walaupun jasadnya telah lama pergi kerana beliau telah mewariskan kepada kita falsafah kepimpinan Islam yang sebenar. Susah untuk kita mencari kepimpinan sedemikian dalam zaman teknologi ini. semoga kita dapat jadikan kepimpinan beliau sebagai pemangkin perubahan dalam membawa mesej Islam dan seterusnya membersihkan dunia ini daripada kepimpinan sekular yang mengkhianati amanah Islam dan rakyat. Wallahu’alam.

Miracle of Islam: Darussyifa' 2013

Islam Di Antara Dua Persimpangan




          Islam adalah agama yang diturunkan oleh Allah kepada Nabi Muhammad S.A.W untuk mengatur hubungan manusia dengan Allah, manusia dengan manusia lain dan manusia dengan makhluk yang lain seperti binatang, tumbuhan dan harta benda. Penganut agama Islam yang beriman dengan Islam harus patuh dan tunduk dengan Allah dalam erti kata mengikuti segala perintah dan meninggalkan setiap perkara yang menjadi larangannya dengan penuh kesedaran, kerelaan serta keikhlasan bukannya dengan rasa keterpaksaan. Islam juga adalah jalan hidup (way of life) satu-satunya yang paling selamat untuk manusia sampai ke destinasi terakhirnya yang menjadi tujuan kehidupan iaitu akhirat yang kekal abadi. Jalan yang berliku dan penuh dengan onak duri perlu direntasi dengan penuh kesabaran.

         Islam terletak di antara dua aliran. Aliran yang paling mengambil ringan dan aliran yang melampau atau berlebihan dalam sesuatu perkara. Satu aliran ke haluan kiri dan satu haluan ke kanan. Kedua-dua aliran ini menisbahkan diri mereka sebagai muslim, cuma ada yang hanya Islam di nama, atau pengakuan, tetapi tidak dibuktikan dengan amalan perbuatan, dan ada yang melakukan ajaran yang telah ditetapkan dengan melebihi had sempadan yang dibenarkan. Contohnya, bagi mencapai ketinggian keimanan dan ketaqwaan, mereka melakukan ibadah solat sepuluh kali sehari, berpuasa tanpa berbuka dan sebagainya. Secara zahirnya, perbuatan tersebut nampak seolah baik, namun pada hakikatnya terkeluar dari landasan kebenaran bahkan di tolak oleh Allah SWT.

         Kumpulan pertama ini hanya mengambil dan mengamalkan sebahagian sahaja dari ajaran Islam. Apa yang dirasakan untuk dilakukan, mereka akan lakukan. Dan apabila mereka rasa untuk tidak lakukan, mereka akan tinggalkan. Mereka mempercayai kebenaran Islam, membenarkan apa yang telah disyariatkan, akan tetapi mereka tidak mampu untuk melaksanakan setiap tuntutan tersebut. Mereka tidak mengambil berat untuk mempraktikkan ajaran Islam, dan hanya memandang remeh perkara tersebut. Islam dari sudut mereka cukup sekadar meyakini dalam hati tentang kewujudan Allah, sebagai tuhan pencipta alam yang esa, dan nabi Muhammad sebagai utusan kepada seluruh umat manusia. Ucapan kalimah syahadah merupakan satu lambang atau simbol keimanan bagi mereka. Kita dapat lihat sebagai contoh, ada segelintir wanita yang tidak memakai tudung mendakwa dirinya lebih baik walaupun tidak bertudung jika hendak dibandingkan dengan orang yang memakai tudung tetapi berkelakuan yang tidak baik. Mereka berpegang dengan pepatah Inggeris yang berbunyi ‘Don’t judge the book by its cover’.

         Golongan kedua adalah mereka yang melampau dan berlebihan dalam beragama, pegangan dan pengamalan hukum-hukum syariat serta mempersulit diri sendiri atau orang lain merupakan sikap yang dicela dan ditentang oleh agama Islam. Oleh itu, jadikanlah orang yang berilmu dan berpengetahuan dalam pengamalan Islam agar ianya bertepatan dengan tuntutan dan kehendak syarak dan agama yang bersifat sebagai rahmatan lil alamin iaitu agama rahmat untuk sekelian alam. Wujud ramai dalam kalangan masyarakat kita hari ini golongan yang menyusahkan diri sendiri dalam amalan beragama, menyesatkan amalan-amalan orang lain yang tidak selari dengan perbuatan mereka, sedangkan tindakan orang tersebut selaras dengan kehendak sunnah dan ijmak ulama', memberatkan diri dengan amalan-amalan sunat sehingga menjejaskan kemampuan diri dan mengabaikan amalan-amalan wajib yang sepatutnya diutamakan. Wajib ke atas setiap muslim menyayangi para nabi, bukan sampai menjadikan para nabi sebagai tuhan. Jika kita mengimbau kembali detik sejarah kewafatan baginda SAW, ada sahabat yang menyampaikan perkhabaran tersebut sehingga ke pengetahuan Saidina Umar, kemudian Saidina Umar ingin melakukan pembunuhan kepada pembawa berita tersebut, namun ditenangkan oleh Saidina Abu Bakar dengan mengatakan bahawa Rasulullah telah mati, namun Allah itu hidup dan tidak akan mati. Ini menunjukkan ketaatan kepada nabi adalah satu tuntutan, mengagungkannya sehingga melampaui sempadan adalah perkara yang dilarang.

        
         Islam berada di tengah kedua-dua aliran tersebut. Islam itu mudah tetapi tidak mengambil mudah. Setiap muslim perlu melaksanakan tuntutan Islam secara sempurna tanpa mengetepikan apa-apa perkara sekalipun. Islam juga sesekali tidak mengabaikan keduniaan, cuma jangan sampai menjadikan dunia sebagai tujuan kehidupan kita. Ada pepatah yang menyebutkan ‘Beribadatlah seolah kamu akan mati pada esok hari dan bekerjalah seolah kamu akan hidup selamanya’. Islam tidak boleh dipisahkan dalam kehidupan manusia baik dalam bidang pentadbiran, ekonomi, pendidikan, politik dan sebagainya. Setiap kewajipan perlu dilaksanakan tanpa ada alasan untuk tidak dilakukan.


Copyright @ 2013 Say YES to Islam.