Pages

Ahlan Wa Sahlan Wa Marhaban Bikum

Monday 27 May 2013

Filled Under:

KHALIFAH UMAR ABDUL AZIZ SEORANG PEMIMPIN UNGGUL



Umar Abdul Aziz merupakan anak kepada Abdul Aziz bin Marwan bin al-Hakam. Beliau juga mempunyai darah keturunan Khalifah Umar al-Khattab dari sebelah ibunya. Beliau memiliki daya kepimpinan yang hebat dan telah menempa kejayaan dan kecemerlangan. Kepimpinan beliau merupakan kepimpinan yang sebenar sebagaimana yang diwarisi daripada Nabi SAW. Sifat keperibadiannya yang tinggi dan ciri-ciri pemerintahan yang adil dan bertanggungjawab serta pencapaian beliau dalam kepimpinan telah menjadikan beliau seorang pemimpin yang amat dikagumi dalam sejarah kepimpinan Islam.

Semenjak remaja lagi, beliau mempunyai minat yang mendalam dalam menuntut ilmu dan mendalami ajaran Islam. Apabila bapanya bercadang untuk menghantarnya ke Mesir, beliau meminta untuk bermusafir ke Madinah bagi menghadiri kuliah pengajian daripada para fuqaha’ dan ulama’ di sana. Beliau pernah dilantik menjadi Gabenor Madinah, Mekah dan Ta’if  semasa pemerintahan al-Walid bin Abdul Malik. Semasa kepimpinan beliau, Masjid Nabawi telah ditambah binaannya dengan memasukkan kubur Nabi SAW ke dalam kawasan masjid. Beliau sentiasa bergaul baik dengan penduduk-penduduk Madinah sehinggakan beliau dianggap sebagai seorang yang sederhana. Beliau juga pernah dilantik menjadi menteri penasihat ketika berada pada zaman pemerintahan Sulaiman bin Abdul Malik sebelum dilantik menjadi khalifah. Sifat berani dan tegas serta kebijaksanaan yang dimiliki melayakkan beliau diberi kepercayaan untuk memegang jawatan khalifah setelah kewafatan sepupunya, Khalifah Sulaiman bin Abdul Malik.

 Dari awal pemerintahannya, Umar Abdul Aziz telah mengumpulkan rekod pentad-biran dan hukum-hakam yang telah diputuskan oleh Khalifah Umar al-Khattab sebagai panduan dan pedoman kerana beliau berpegang kepada kenyataan Rasullullah SAW yang menyebut bahawa Allah menjadikan kebenaran berdasarkan lidah dan hati Umar bin al-Khattab. Wawasan politik beliau ialah berpegang teguh kepada kitab al-Quran dan berjihad mendaulatkan agama Allah sebagaimana yang telah diriwayatkan oleh Malik bin Anas:- “Rasulullah SAW dan para pemerintah selepas Baginda telah menetapkan peraturan yang perlu diikuti, iaitu: Berpegang teguh kepada Kitab Allah dan menjana Kekuatan Agama Allah. Tidak ada
sesiapa yang boleh menukar ganti dan mengubahnya. Tidak ada sesiapa yang boleh mengikut jejak langkah orang yang menentang panduan itu. Barangsiapa yang mengambil panduan tersebut, maka ia mendapat bimbingan. Orang yang menggunakannya untuk mencapai kemenangan, maka ia akan dibantu. Sebaliknya orang meninggalkan petunjuk tersebut dan mengikut jalan orang yang tidak beriman, maka Allah akan berpaling daripadanya dan ia akan dihumban ke dalam api neraka, tempat yang paling buruk dan hina.”


Setelah upacara perlantikan dan bai’ahnya selesai, beliau pulang ke kediamannya menggunakan kenderaannya sendiri. Beliau menolak menunggang kuda yang telah dihias indah sebagai kenderaan rasminya ketika itu. Beliau juga menolak untuk tinggal di kediaman Khalifah dan segala barang-barang di dalamnya telah diserahkan kepada baitulmal. Begitu juga dengan barang-barang perhiasan milik isterinya. Beliau pernah menerima gaji sebanyak 40 ribu dinar sebelum dilantik  menjadi khalifah, namun setelah memegang tampuk peme-rintahan, beliau telah meninggalkan semuanya. Yang tinggal padanya hanyalah 400 dinar setahun. Beliau sanggup mengorbankan segala kesenangan dan kemewahan yang dimilikinya demi kepentingan dan kesenangan rakyatnya. Pernah suatu ketika ada orang yang menegur sikapnya itu dengan berkata:- “Engkau mampu memakai pakaian yang baik-baik, tetapi mengapa engkau memakai pakaian yang buruk?” Lalu jawab Umar,:- “ Sebaik-baik orang ialah orang yang bersederhana ketika dia mampu bermewah, dan sebaik orang yang memaafkan ialah orang yang ketika mempunyai kuasa membalas kejahatan.” Jika sebelum menjadi khalifah pakaiannya daripada benang yang terbaik dan berkualiti, namun setelah menjadi pemerintah, pakaiannya keras dan murah harganya. Sehinggakan pernah terjadi ketika beliau sakit, saudaranya datang menziarahinya dan meminta Fatimah iaitu isterinya supaya menukarkan bajunya. Namun, keesokan harinya, ketika dia datang menziarahi Umar semula, dia terkejut melihat Umar masih memakai baju yang sama seperti semalam. Apabila ditanya, Fatimah menjelaskan bahawa Umar tidak memiliki baju yang lain. Sebab itu, jika isterinya membasuh baju yang dipakai olehnya, maka beliau akan berada di rumah menunggu sehingga baju itu kering.

Biarpun dalam keadaan sedemikian, masih ada lagi pihak yang iri hati dan sanggup memfitnah beliau. Beliau dituduh menyimpan harta yang banyak dalam dua bilik peribadinya sehinggakan perkara itu dilaporkan kepada Khalifah Yazid yang ketika itu menjadi khalifah menggantikan beliau yang telah meninggal dunia. Hasil daripada laporan tersebut, Yazid telah menyiasat dua bilik tersebut walaupun telah dinyatakan oleh isteri Umar bahawa Umar meninggal dunia tanpa meninggalkan sebarang harta melainkan satu bungkusan yang mengandungi baju murah  bertampung-tampung, kasut buruk, dan jubah yang telah lusuh.

Dalam melaksanakan keadilan semasa kepimpinannya, masih wujud golongan yang jahat, dengki, khianat dan tamak dengan harta dunia sehingga sanggup mengatur rancangan untuk membunuh beliau. Akhirnya, beliau meninggal dunia kerana diracun oleh pembantunya sendiri.

Demikianlah contoh kepimpinan Islam yang dilaksanakan oleh Khalifah Umar Abdul Aziz semasa pemerintahannya.  Keadilan, ke-tegasan dan keunggulan beliau sebagai pemimpin tidak dapat disangkal lagi. Kepimpinan beliau sentiasa hidup walaupun jasadnya telah lama pergi kerana beliau telah mewariskan kepada kita falsafah kepimpinan Islam yang sebenar. Susah untuk kita mencari kepimpinan sedemikian dalam zaman teknologi ini. semoga kita dapat jadikan kepimpinan beliau sebagai pemangkin perubahan dalam membawa mesej Islam dan seterusnya membersihkan dunia ini daripada kepimpinan sekular yang mengkhianati amanah Islam dan rakyat. Wallahu’alam.

0 comments:

Post a Comment

Copyright @ 2013 Say YES to Islam.