Pages

Ahlan Wa Sahlan Wa Marhaban Bikum

Monday 27 May 2013

Filled Under:

Islam Di Antara Dua Persimpangan




          Islam adalah agama yang diturunkan oleh Allah kepada Nabi Muhammad S.A.W untuk mengatur hubungan manusia dengan Allah, manusia dengan manusia lain dan manusia dengan makhluk yang lain seperti binatang, tumbuhan dan harta benda. Penganut agama Islam yang beriman dengan Islam harus patuh dan tunduk dengan Allah dalam erti kata mengikuti segala perintah dan meninggalkan setiap perkara yang menjadi larangannya dengan penuh kesedaran, kerelaan serta keikhlasan bukannya dengan rasa keterpaksaan. Islam juga adalah jalan hidup (way of life) satu-satunya yang paling selamat untuk manusia sampai ke destinasi terakhirnya yang menjadi tujuan kehidupan iaitu akhirat yang kekal abadi. Jalan yang berliku dan penuh dengan onak duri perlu direntasi dengan penuh kesabaran.

         Islam terletak di antara dua aliran. Aliran yang paling mengambil ringan dan aliran yang melampau atau berlebihan dalam sesuatu perkara. Satu aliran ke haluan kiri dan satu haluan ke kanan. Kedua-dua aliran ini menisbahkan diri mereka sebagai muslim, cuma ada yang hanya Islam di nama, atau pengakuan, tetapi tidak dibuktikan dengan amalan perbuatan, dan ada yang melakukan ajaran yang telah ditetapkan dengan melebihi had sempadan yang dibenarkan. Contohnya, bagi mencapai ketinggian keimanan dan ketaqwaan, mereka melakukan ibadah solat sepuluh kali sehari, berpuasa tanpa berbuka dan sebagainya. Secara zahirnya, perbuatan tersebut nampak seolah baik, namun pada hakikatnya terkeluar dari landasan kebenaran bahkan di tolak oleh Allah SWT.

         Kumpulan pertama ini hanya mengambil dan mengamalkan sebahagian sahaja dari ajaran Islam. Apa yang dirasakan untuk dilakukan, mereka akan lakukan. Dan apabila mereka rasa untuk tidak lakukan, mereka akan tinggalkan. Mereka mempercayai kebenaran Islam, membenarkan apa yang telah disyariatkan, akan tetapi mereka tidak mampu untuk melaksanakan setiap tuntutan tersebut. Mereka tidak mengambil berat untuk mempraktikkan ajaran Islam, dan hanya memandang remeh perkara tersebut. Islam dari sudut mereka cukup sekadar meyakini dalam hati tentang kewujudan Allah, sebagai tuhan pencipta alam yang esa, dan nabi Muhammad sebagai utusan kepada seluruh umat manusia. Ucapan kalimah syahadah merupakan satu lambang atau simbol keimanan bagi mereka. Kita dapat lihat sebagai contoh, ada segelintir wanita yang tidak memakai tudung mendakwa dirinya lebih baik walaupun tidak bertudung jika hendak dibandingkan dengan orang yang memakai tudung tetapi berkelakuan yang tidak baik. Mereka berpegang dengan pepatah Inggeris yang berbunyi ‘Don’t judge the book by its cover’.

         Golongan kedua adalah mereka yang melampau dan berlebihan dalam beragama, pegangan dan pengamalan hukum-hukum syariat serta mempersulit diri sendiri atau orang lain merupakan sikap yang dicela dan ditentang oleh agama Islam. Oleh itu, jadikanlah orang yang berilmu dan berpengetahuan dalam pengamalan Islam agar ianya bertepatan dengan tuntutan dan kehendak syarak dan agama yang bersifat sebagai rahmatan lil alamin iaitu agama rahmat untuk sekelian alam. Wujud ramai dalam kalangan masyarakat kita hari ini golongan yang menyusahkan diri sendiri dalam amalan beragama, menyesatkan amalan-amalan orang lain yang tidak selari dengan perbuatan mereka, sedangkan tindakan orang tersebut selaras dengan kehendak sunnah dan ijmak ulama', memberatkan diri dengan amalan-amalan sunat sehingga menjejaskan kemampuan diri dan mengabaikan amalan-amalan wajib yang sepatutnya diutamakan. Wajib ke atas setiap muslim menyayangi para nabi, bukan sampai menjadikan para nabi sebagai tuhan. Jika kita mengimbau kembali detik sejarah kewafatan baginda SAW, ada sahabat yang menyampaikan perkhabaran tersebut sehingga ke pengetahuan Saidina Umar, kemudian Saidina Umar ingin melakukan pembunuhan kepada pembawa berita tersebut, namun ditenangkan oleh Saidina Abu Bakar dengan mengatakan bahawa Rasulullah telah mati, namun Allah itu hidup dan tidak akan mati. Ini menunjukkan ketaatan kepada nabi adalah satu tuntutan, mengagungkannya sehingga melampaui sempadan adalah perkara yang dilarang.

        
         Islam berada di tengah kedua-dua aliran tersebut. Islam itu mudah tetapi tidak mengambil mudah. Setiap muslim perlu melaksanakan tuntutan Islam secara sempurna tanpa mengetepikan apa-apa perkara sekalipun. Islam juga sesekali tidak mengabaikan keduniaan, cuma jangan sampai menjadikan dunia sebagai tujuan kehidupan kita. Ada pepatah yang menyebutkan ‘Beribadatlah seolah kamu akan mati pada esok hari dan bekerjalah seolah kamu akan hidup selamanya’. Islam tidak boleh dipisahkan dalam kehidupan manusia baik dalam bidang pentadbiran, ekonomi, pendidikan, politik dan sebagainya. Setiap kewajipan perlu dilaksanakan tanpa ada alasan untuk tidak dilakukan.


0 comments:

Post a Comment

Copyright @ 2013 Say YES to Islam.